Click here to get more Welcome Greetings from MasterGreetings.com

Banner Maker

Memaparkan catatan dengan label Resepi kuih-muih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi kuih-muih. Papar semua catatan

Jumaat, 6 April 2012

KUIH LAPIS

Assalamualaikum...apa khabar semua rakan2...harap sihat sejahtera yer. Petang-petang ni kita sentiasa memikirkan apakah menu yang akan disediakan untuk minum petang...emmmmmm silak2 salinan resepi ni...dapat lak resepi yang simple dan mudah untuk disediakan. Bahan memang dah sentiasa ada di dapur..Resepi Kuih Lapis BEN 10 dari Kak Fida.  Memang kena solute la kat kak seorang ni...kalau ambil resepi dia dah tak perlu risau...InsyaAllah..jadi. Janji kita cuba dulu...Kuih ni pun anak2 suka makan...kita kalau nak buat apa2 pun kena fikir keluarga, kalau majoriti suka  baru buat...takda la kata kita syok sendiri...buat sendiri...makan sendiri....nanti badan pun naik sendiri...parahhhhhh la pulak.


Meh tengok resepinya yer...lepas tu cuba la...nama Kuih Lapis jer la...BEN 10 sebab kak Fida  letak edibleimage Ben10. Kalau nak letak apa2 pun boleh...kalau rajin...

KUIH LAPIS

1 1/2 cawan tepung gandum
1  cawan tepung beras cap gajah
1/2 cawan tepung ubi (saya guna 2 sudu makan tepung jagung)
1 cawan gula
200 ml santan kotak   } sukatan 4 cawan
4 sudu besar susu cair}
air                                  }
(saya guna 4 cawan santan sahaja)
1 sudu makan minyak kelapa
1 sudu kecil garam (saya ambil secubit)
 warna kesukaan


CARA:

1. Satukan kesemua bahan. Tapis atau diblend. 
2. Bahagi  kepada 3 bahagian...maknanya 3 warna.
3. Panaskan pengukus. Sapukan sedikit minyak pada loyang dan panaskan seketika.
4. Bila loyang sudah agak panas, masukkan adunan selapis demi selapis. Masak hingga habis.

 Cuba yer...jangan tak cuba....







Jumaat, 10 Jun 2011

DONUT SIMPLE

Assalam. Ada masa lapang sikit ni masukkan lah beberapa menu yang tak sempat nak dimasukkan lagi..donut ni dibuat minggu lepas untuk sarapan anak-anak.  Kadang-kadang binggung gak yer waktu cuti sekolah ni...nak buat sarapan apa...asyik2 mee hoon goreng, nasi lemak, kuew teow goreng, mee goreng...huhuuuuu pusing2 itu saja...kali ni buat kuih jer la...kalau dia orang rasa lapar, masak nasi awal sikit, jadi lunch awal..


BAHAN-BAHAN:

300 gm tepung gandum
1/2 bungkus yis mauripan
1/2 biji telur (pecahkan 1 biji, guna 1/2 jer..)
1 sudu makan gula
1 sudu makan marjerin
air secukupnya
1 sudu shortening(lemak sayur)

CARA MEMBUATNYA:

1. Satukan kesemua bahan kecuali shortening dan air, gaul hingga menjadi seperti serbuk roti.

2. Masukkan air sedikit demi sedikit, uli hingga menjadi doh lembut.

3. Kemudian letakkan shortening, sambil uli letakkan sedikit pada doh...uli hingga menjadi doh yang lembut dan kenyal.

4. Perapkan doh agar doh naik sekali ganda.  Kemudian ketuk2kan untuk membuang angin pada doh. Bulatkan ikut saiz kesukaan dan di susun di atas dulang yang ditaburkan tepung. Biarkan naik lagi.

5. Panaskan minyak guna api sederhana. Buatkan lubang pada donut tadi dan goreng hingga masak.

6. Bila dah masak, golekkan di atas gula halus.

PAU KACANG GEBU

Assalamualaikum. Pau kegemaran anak-anakku..kalau boleh tiap-tiap hari suruh mama dia buat..gebu la badan asyik makan pau jer. Resepi ni saya ambil dari Mat Gebu. Tu yang nama pun ada 'gebu'..sedap dan lembut jer. CMG punya pau inti kentang tapi saya buat inti kacang. Tak berapa rajin nak buat inti...tu yang beli instant. Mari tengok resepi....


BAHAN-BAHAN:

240 gm tepung pau
1 camca teh baking powder
1/2 camca teh garam
1 camca teh yis
25 gm shortening
100 ml air suam
30 gm gula halus
1/2 camca teh cuka

CARA MEMBUATNYA:

1. Satukan gula, air suam dan cuka. Kacau hingga larut.

2. Dalam bekas besar, satukan tepung, baking powder, garam dan lemak sayuran, sebatikan dan jadikan seperti serbuk roti.

3. Masukkan air tadi sedikit demi sedikit hingga menjadi doh lembut. Uli 10 minit hingga menjadi doh yang kenyal. Perapkan hingga doh naik sekali ganda.

4. Bila doh telah mengembang, ketuk2kan doh dan ambil sedikit dibulatkan dan isi inti dan terus klim. Lapikkan dengan daun pisang atau kertas atau plastik yang telah dipotong kecil. Buat hingga habis. Biarkan kembang semula dan barulah dikukus selama 2 @ 3 minit. Pastikan pengukus dipanaskan dahulu.

Nota: 

Inti kacang merah ada dijual di kedai menjual barangan kek.

Rabu, 8 Jun 2011

PAU KENTANG

Pau kentang pilihan....kebetulan ada inti karipap lebih..bubuh jer la dalam pau ni. Jadi la 2 jenis pau dalam satu masa..kacang merah dan kentang. Tetapi yang menjadi kesukaan anak-anak adalah yang berinti kacang merah. Saya pilih yang pedas....boleh tahan gak. Meh la cuba...


Bahan untuk inti:

4 biji kentang (saiz besar)
3 biji bawang merah
2 sudu makan rempah kari daging Baba's
2 ulas bawang putih
sedikit daun sup
1 sudu makan gula
garam secukupnya
minyak untuk menumis
1 pelepah daun kari
1/4 cawan ikan bilis
air secukupnya

Cara membuatnya:

1. Kentang dikopek dan dipotong dadu kecil.

2. Tumbukkan bawang dan ikan bilis. Bancuhkan rempah kari dengan sedikit air. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk hingga naik bau. Masukkan daun kari dan rempah kari, masak hingga pecah minyak. 

3. Masukkan kentang dan air separas dengan kentang. Tambahkan garam dan gula secukupnya. Masak hingga kentang empuk dan kering. Bila hampir kering masukkan daun sup. Kemudian angkat dan sejukkan.

Bahan Doh:

500 gm tepung pau - diayak
1 sudu kecil garam halus
1 paket yis kering
50 gm gula kastor
250 ml air (mengikut anggaran)
3 sudu besar minyak jagung

Cara membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan, gaul bahan sampai sebati. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang lembut. Uli hingga kenyal dan tidak melekat. Ambil sedikit minyak jagung, letakkan di tapak tangan dan gaul ratakan pada doh tersebut hingga rata.

2. Simpan dan tutup doh seketika. Biarkan doh naik 2 kali ganda.

3. Ketuk-ketukkan doh dengan jari penumbuk. Ambil doh, bulatkan kecil-kecil(saiz ikut suka) dan leperkan. Masukkan inti (1 sudu kecil) dan klimkan. Lapikkan dengan kertas pengalas.

4. Bila telah siap, biarkan ia naik seketika dan kukus dalam masa 2 @ 3 minit.

Isnin, 6 Jun 2011

KUIH BAKAR

Assalamualaikum, apa khabar yer? Kuih Bakar kegemaran emak dan ayah...saya pun suka ni..rasa sedang2 jer, tak manis sangat dan senang rupanya nak buat. Guna pulak acuan tembaga pecah lapan milik emak yang saya jaga rapi...maklum la..sekarang nak beli acuan tu mahal dah. Yang zaman emak-emak kita punya ni bagus, tebal dan tahan. Tapi, belum sempat la nak buatkan untuk mereka dengan air tangan sendiri ni..InsyaAllah niat di hati kalau balik kampung nanti memang nak bekalkan kuih bakar dari koleksi resepi Kak Besah. Tq kak.



BAHAN-BAHAN:

1 1/2 mangkuk tepung gandum
1 mangkuk gula
1 mangkuk telur(5 biji)
1 mangkuk santan dan 5 helai daun pandan (diblend dan tapis)
2 mangkuk santan
sedikit garam
Pewarna hijau
2 sudu minyak kelapa
sedikit esen vanila
bijan secukupnya

CARA MEMBUATNYA:

1. Lenserkan acuar dengan minyak, panaskan dahulu dalam oven dalam 5 minit.

2. Dalam mangkuk, gaul rata tepung gandum, jus pandan, santan, garam, gula, esen vanila, kacau perlahan-lahan guna whisk. Masukkan telur dan kacau hingga sebati. akhir sekali tapiskan. Masukkan minyak kelapa dan kacau sebati.

3. Bila acuan sudah panas, masukkan adunan 3/4 penuh dan taburkan bijan. 

4. Bakar pada suhu 180 oC selama 35 - 40 minit hingga masak.

5. I adunan boleh jadi  4 biji kuih bakar. Selamat mencubaaaa...


Rabu, 20 April 2011

LEMPENG KELAPA

Assalamualaikum..inilah resepi mudah. Kadang-kadang teringin nak makan yang ringkas dan kurang berminyak..kebetulan ada rendang daging. Lempeng ni nak makan dengan sambal tumis pun boleh dan ikut selera kita. Resepi rendang nanti saya masukkan...jom kita tengok resepi lempengnya dulu.

Lempeng kelapa dan rendang daging

Bancuhannya, tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat
Masak di atas kuali leper, tidak perlu nipis sangat. Ditutup dengan penutup agar  masaknya sempurna.

BAHAN-BAHAN:

2 cawan tepung gandum 
1/2 cawan kelapa parut (putih sahaja)
sedikit garam
air secukupnya
1 sudu makan minyak kelapa

CARA MEMBUATNYA:

1. Bancuhkan kesemua bahan dalam 1 bekas hingga sebati.

2. Panaskan kuali leper, ratakan dengan senduk, tutup seketika. Bila lapisan bawah sudah kering, terbalikkan. Masak menggunakan api yang sederhana sahaja.



Ahad, 17 April 2011

KUIH SERI MUKA

Assalamualaikum. Hari ni nak masukkan resepi Kuih Seri Muka. Resepi ni asalnya dari nenek tapi telah diperturunkan kepada makcik. Dulu kalau nenek buat kuih ni belah atasnya manis sangat mungkin makcik telah olahkan sedikit bab gula ni..yang ini sedang2 jer...




BAHAN-BAHAN:

Penggunaan Loyang 20 cm.


Untuk Lapisan bawah:

1 1/2 cawan santan 
2 cawan pulut
sedikit garam

Cara:

1. Rendam pulut semalaman.

2. Basuh dan toskan. Masukkan kedalam loyang. 

3. Sebatikan garam dan santan. Biar cukup lemak masinnya.

4. Masukkan santan ke dalam loyang pulut tadi. Paras santan lebih sedikit saja dengan paras pulut.

5. Kukus hingga masak. Setelah masak, tekan dengan kuat menggunakan senduk nasi dan plastik. (Proses ini dibuat semasa pulut tengah panas). Setelah padat dikukus semula.


Lapisan Atas:

2 biji telur 
3/4 cawan tepung gandum
1/2 cawan air pandan
1 cawan santan
1 cawan gula
sedikit esen vanila
sedikit pewarna hijau.

Cara:

1. Blendkan telur, gula, esen vanila hingga kembang. Masukkan tepung sedikit2 dan santan serta air pandan. Tambah sedikit pewarna hijau. Blend sebati.

2. Setelah siap, masukkan ke dalam loyang pulut tadi. Kukus hingga masak. Biarkan sejuk baru dipotong.

Cuba lah....

Selasa, 29 Mac 2011

KUIH KETAYAP

Kuih Ketayap
Inti kelapa


BAHAN-BAHAN:

3 cawan tepung gandum
Sedikit garam
1 biji telur
Air secukupnya
1 sudu makan minyak kelapa
sedikit pewarna hijau

CARA MEMBUATNYA:

1. Satukan tepung, telur dan garam. masukkan air sedikit demi sedikit mengikut kecairan yang dikehendaki. Kacau menggunakan whisk.

2. Setelah sebati, tapiskan. Kemudian, masukkan minyak kelapa dan kacau sebati.

3. Panaskan kuali leper, masukkan 1 senduk bancuhan dan nipiskan. 


INTI KELAPA

BAHANNYA:

1/2 biji kelapa parut(Putih sahaja)
1 cawan gula
1 cawan gula merah
1 cawan air
1 helai daun pandan
1 sudu tepung ubi

CARA MEMBUATNYA:

1. Masakkan gula merah, gula dan air hingga mendidih dan pekat sedikit. Tapiskan.

2. Letakkan kelapa dalam kuali, masukkan air gula tadi, daun pandan dikoyak-koyak dan masak guna api yang kecil hingga hampir kering. Sentiasa dikacau. 

3. Akhir sekali masukkan tepung ubi untuk memekatkannya.





Isnin, 21 Mac 2011

PUTERI AYU

Dari rositamz(my resepi)...nampaknya serasi la, menjadi jer. 


Acuan bunga tersusun..
Acuan bunga ropol-ropol..
Semasa sesi mengisi adunan
Adunan telah diisi penuh. Tunggu giliran untuk masuk ke dalam pengukus.


Selepas dikukus...sejukkan seketika.


BAHAN-BAHAN:

5 biji telur (saiz kecil)
250 gm tepung gandum
300 gm gula kastor
2 camca teh ovellette
1 camca teh baking powder
259 ml santan
pewarna hijau
2 camca teh paste pandan

1/2 biji kelapa parut(putih sahaja) + sedikit garam halus + sedikit tepung ubi.

CARA MEMBUATNYA:

1. Panaskan kukusan.

2.Pukul telur, gula & ovellette hingga kembang dan gebu.

3. Masukkan santan, tepung gandum, baking powder, paste pandan dan pewarna. Kacau sebati.

4. Kelapa gaul sebati dengan bahan lain.

5. Sapukan sedikit minyak pada acuan, letakkan kelapa dan padat-padatkan. Masukkan adunan tadi hingga penuh dan kukus selama 5 minit.

6. Tunggu sejuk sedikit baru keluarkan pada acuan.

Adunan ni boleh jadi dalam 38 biji. Alhamdulillah...habis gak. Ingatkan nak buat 1/2 adunan jer, nampak macam banyak..rupa-rupanya tak sangka  anak2 suka kuih ni...tukang perabis la..apa lagi.

KUIH LAPIS COKLAT

Resepi ni pun saya ambil dari Azita. Tapi, maaf la Azita, saya punya kuih ni macam lembik sikit dan tak berapa cantikkk la. Mungkin lain kali saya kena kurangkan sedikit santan...tapi tak pa sekurang-kurangnya dah mencuba kan..saya cuba pun 1/2 adunan jer..




BAHAN-BAHAN:

Bahan A:
300 gm tepung gandum
60 gm tepung hoen kwee
360 gm gula
2 biji telur
1500 ml santan (kurangkan sedikit)
secubit garam

Bahan B
50 ml santan
25 gm serbuk koko

sedikit pewarna kuning

(kalau nak guna tepung beras pun boleh ditambahkan sedikit tepung jagung).

CARA MEMBUATNYA:

1. Satukan bahan A kacau hingga sebati, tapiskan.

2. Satukan bahan B kacau sebati, tapiskan.

3. Adunan A dibahagikan kepada 2. 1 bahagian ditambah pewarna kuning. 1 bahagian lagi di tambahkan dengan adunan B.

4. Panaskan pengukus. Lenserkan loyang dengan sedikit minyak, kukus sebentar. Bila sudah agak panas barulah masukkan lapisan pertama. (sukatan dalam 2 senduk). Kukus setiap lapisan dalam masa 5 minit @ lebih. Lapisan sudah keras baru masukkan lapisan kedua. Buat hingga habis.

5. Yang terakhir sekali kukus lagi dalam 15 - 20 minit.



Jumaat, 18 Mac 2011

PAU KACANG MERAH

PAU KACANG MERAH




Bahan inti:

Inti kacang merah - ada dijual di kedai barangan kek.

Bahan Doh:

500 gm tepung pau - diayak
1 sudu kecil garam halus
1 paket yis kering
50 gm gula kastor
250 ml air (mengikut anggaran)
3 sudu besar minyak jagung

Cara membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan, gaul bahan sampai sebati. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang lembut. Uli hingga kenyal dan tidak melekat. Ambil sedikit minyak jagung, letakkan di tapak tangan dan gaul ratakan pada doh tersebut hingga rata.


2. Simpan dan tutup doh seketika. Biarkan doh naik 2 kali ganda.


3. Ketuk-ketukkan doh dengan jari penumbuk. Ambil doh, bulatkan kecil-kecil(saiz ikut suka) dan leperkan. Masukkan inti (1 sudu kecil) dan klimkan. Lapikkan dengan kertas pengalas.


4. Bila telah siap, biarkan ia naik seketika dan kukus dalam masa 2 @ 3 minit.

POPIAH BASAH

1. POPIAH BASAH


BAHAN-BAHAN:

Untuk Kulit:

3 cawan tepung gandum
1 biji telur
2 sudu makan cuka
1 sudu minyak kelapa
1 sudu teh garam
air secukupnya

Caranya:

1. Bancuh kesemua bahan dan perap 3 hingga 4 jam. Bancuhan seperti membuat cekodok, tidak terlalu cair.

2. Ambil adunan dengan tangan dan sapu nipis seperti membuat ketayap. Daripada tepi ke tengah. Api biar perlahan. Hati-hati panas...dan cepat kering.(di sini lah yang rumit sedikit).

3. Setelah masak simpan di dalam tuala nipis yang lembap.

Untuk Intinya:

1 biji sengkuang (kecil)
1 batang karot
30 sen kacang panjang
sedikit kobis
sedikit timun
1 biji bawang besar (cincang)
1/2 cawan udang kering (ditumbuk)
sedikit garam

Caranya:

1. Hiris sengkuang, timun,karot dan kobis (sagat pun boleh).

2. Tumiskan bawang dan udang kering hingga naik bau dengan minyak yang sedikit. Masukkan kesemua bahan, gaul sebati dan tambah garam. Masak sekejap saja dan toskan airnya.

Untuk cili:

15 tangkai cili kering
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 sudu besar gula
2 sudu besar gula perang
2 sudu kicap manis
sedikit garam

Caranya:

1. Buang biji cili, potong dan rebus. 

2. Cili, bawang besar dan putih diblender hingga hancur.

3. Masak dalam kuali hingga cili betul-betul masak. Baru masukkan semua bahan-bahan lain. Biar pekat.


Cara mambungkus popiah

1. Ambil sekeping kulit, letakkan cili hingga rata, taburkan bawang goreng dan letak inti. Tutup kiri dan kanannya dan gulung.

(Selamat Mencuba... kalau give up buat kulitnya...cari yang dah siap..kat Pasar Chow kit ada jual. Tak pernah beli lagi tapi kalau boleh nak cuba sampai jadi betul2. Nampak mudah...tapi bila dah buat...boleh jadi tak tahan la....)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KONGSI RESEPI