Click here to get more Welcome Greetings from MasterGreetings.com

Banner Maker

Selasa, 24 Mei 2011

KEK MARIE KOKO

Assalamualaikum. Resepi ni dari Azita Kitchen. Terima kasih kepada tuan punya resepi yer. Teringat masa kecil-kecil dulu emak ada buat kek ni...tapi tak hirau pun nak ambil resepi dan simpan...mudah dan senang jer rupanya. Makan pun bila-bila boleh, simpan dalam peti ais....tahan.

Bila dah dipotong nampak cantik.


BAHAN-BAHAN:

500 gm biskut marie
1 buku buttercup
4 biji telur
3/4 cawan gula
3/4 cawan air
3/4 cawan milo
1/2 cawan serbuk koko
4 camca besar susu pekat manis

CARA  MEMBUATNYA:

1. Pecahkan biskut dan ketepikan.

2. Pecahkan telur ke dalam periuk yang agak besar dan pukul sedikit.

3. Masukkan gula, air, milo, serbuk koko dan susu pekat. Kacau sebati.

4. Masukkan buttercup dan kacau sehingga adunan menjadi macam pecah minyak. Api sederhana. Kacau sehingga pekat sedikit dan masukkan biskut.

5. Kaup balikkan sehingga benar-benar sebati. 

6. Kautkan dan masukkan ke dalam loyang yang disediakan. (Loyang dilapik plastik). Padatkan dan sejukkan.


. 




Isnin, 23 Mei 2011

AYAM GORENG

Di sebabkan anak gemar makan ayam goreng, berbagai cara saya cipta untuk mereka tidak merasa jemu untuk makan...kali ini saya buat cara berbeza sikit.



BAHAN-BAHAN:

Beberapa ketul ayam yang banyak isi.
1 sudu kecil rempah kari daging Baba's
sedikit garam
1 sudu makan tepung jagung

CARA MEMBUATNYA:

1. Bersihkan ayam. Satukan bahan-bahan tersebut pada ayam dan perapkan seketika agar mesra bahannya. Panaskan minyak dan gorengkan hingga garing.

2. Semasa menggoreng gunakan api sederhana, dan tutupkan ayam tersebut agar masak sempurna. 

PUDING ROTI

Assalamualaikum....Puding roti...cara mudah..lupa la nak catit siapa punya resepi, tapi yang pasti  saya  ambil dari My Resepi. Maaf la tuan punya yer (kalau tuan punya tengok blog saya ni)...

Ini guna loyang kecil jer..




BAHAN-BAHAN:

6 keping roti putih
2 cawan susu cair
3/4 cawan gula
3 biji telur
4 sudu besar mentega
1 sudu kecil esen vanila
sedikit kismis hitam

CARA MEMBUATNYA:

1. Carik-carikkan roti dan susun dalam loyang.

2. Cairkan mentega dan letak atas roti.

3. Pukul susu, telur dan gula hingga gula hancur dan kembang. Masukkan esen vanila.

4. Letakkan pada roti tadi dan taburkan kismis. Kismis boleh diletak antara lapisan roti dan bahagian atas juga.

5. Bakar pada suhu 180 o C hingga masak dan kekuningan.

MEE SUP

Wah!....Assalamualaikum semua...sedapnya makan mee sup panas-panas ni...berpeluh.  Kalau potongkan cili padi lagi la bertambah panas.....berapiiiii........Alamak..gambar kuah sup terlupa nak snap  ler.....lupa lakkkkk...

Untuk bahan-bahan tambahan tu agak-agak la yer....rasanya aku nyatakan resepi kuah sup dan sambal kicap jer la...yang lain-lain senang jer...orait, mari turun ke bawah.....

Siap untuk dimakan...Bismillahirrahmanirrahim.


Mee kuning dicelur seketika.


Bahan-bahan tambahan dan sambal kicap.


BAHAN UNTUK SAMBAL KICAP:

7 biji cili padi
4 sudu kicap manis

CARA:

1. Tumbukkan cili padi hingga hancur dan masukkan dalam mangkuk dan campurkan dengan kicap. Kacau sebati. Siap dihidangkan.


BAHAN-BAHAN UNTUK KUAH SUP:

1/2 ekor ayam (campurkan isi dan bahagian tulang pun takpa)
1 bungkus sup bunjut
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
sedikit halia
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1/2 kiub pati ayam
Tumbukkan sedikit lada hitam
sedikit garam
air secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis
daun sup
bawang goreng

CARA MEMBUATNYA:

1. Bersihkan ayam dan potong kecil-kecil.

2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk seperti halia, bawang putih dan bawang merah, kayu manis dan bunga lawang hingga naik bau.

3. Masukkan kesemua bahan dengan air yang mencukupi. Reneh hingga masak sempurna. Cukupkan rasanya. Sediakan mangkuk hidangan mee sup. Taburkan dengan bawang goreng dan daun sup.

Selamat mencuba.


IKAN KEMBUNG MASAK ASAM

Assalamualaikum....Lauk hari ini Ikan Kembung Masak Asam...menu yang simple dan menyegarkan. Nak hirup kuah saje pun boleh...ibarat hirup sup.


BAHAN-BAHAN:

2 ekor ikan kembung
6 biji bendi 
1 biji tomato
1 batang serai
1 keping asam keping
1/2 sudu cili giling
sedikit halia
1/2 biji bawang besar
1 ulas bawang putih
garam secukupnya
air secukupnya
minyak untuk menumis

CARA MEMBUATNYA:

1. Bersihkan ikan dan ketepikan.

2. Halia, bawang putih, bawang besar ditumbuk dan serai diketuk.

3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan tumbuk, cili giling dan serai hingga naik bau. Masukkan ikan, bendi dan air secukupnya. Biar mendidih. Masukkan garam, asam keping dan tomato...bila cukup rasanya, angkat dan hidangkan. Sangat menyelerakan.


Sabtu, 21 Mei 2011

ROTI SANDWICH SARDIN

Assalamualaikum....teringin nak makan roti sandwich...kebetulan petang tadi masak lauk sardin jer..ada lebih ni buat la...yang seronok ni kalau buat sandwich, 1 loaf roti yg besar ni boleh habis.

Ini versi untuk saya...suka letak timun dan tomato banyak-banyak. Sayangnya, salad takda stok....kalau ada dah bubuh sekali. I luv it....

Yang ini versi untuk anak-anak, suka plain jer.. tanpa sayur.

BAHAN-BAHAN:

1 buku roti (brand ikut suka)

1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 tin sardin makeral (cap ayam size sedang)
1 sudu besar cili giling
2 sudu besar mayonis
1/4 cawan air asam
sedikit minyak untuk menumis
garam secukupnya

CARA MEMBUATNYA:

1. Siapkan inti dahulu...bawang besar dan bawang putih dimayang kecil-kecil.

2. Tumiskan bawang dan cili giling hingga masak dan naik bau. Masukkan sardin bersama sosnya sekali, hancurkan dalam kuali sahaja. Masukkan air asam dan garam secukupnya. Biarkan agak kering sedikit. Siap dan letakkan di dalam mangkuk. Sejukkan.

3. Bila agak sejuk sedikit, masukkan mayonis dan kacau sebati.

4. Sediakan roti, sapukan dengan inti tadi ikut suka. Lapiskan dengan sekeping roti lagi. Kemudian, potong bahagian tepi dan potong dua berbentuk tiga segi. Buat hingga habis. kalau suka letak bahan-bahan lain pun boleh. Senangkan.......



Jumaat, 20 Mei 2011

NASI GORENG AYAM

Ni special sikit nasi nih...kalau datang rajinnya, masa agak terluang...Alhamdulillah la...semangat masak pun kuat..kat dapur tu ada nasi lebih ha....tarrrraaaaa.....keluar lah Nasi goreng ni...meh kita tengok macammana nak buat...




BAHAN-BAHAN: (Untuk 2 orang )

1 pinggan nasi sejuk
1 ketul ayam goreng(bahagian isi saja)
1 ulas bawang putih
1/2 ulas bawang merah
3 biji cili padi
1/2 sudu cili giling
sedikit ikan bilis
garam secukupnya
1 biji telur
Minyak untuk menumis

Hiasan:
Timun
Tomato
2 biji telur goreng

CARA MEMBUATNYA:

1. Tumbukkan bawang putih, bawang merah dan ikan bilis. Cili padi diketuk.

2. Ayam disiat-siat sahaja.

3. Panaskan minyak, tumiskan bahan tumbuk, dan cili giling hingga masak, masukkan ayam. Biar mesra seketika, baru masukkan nasi, garam secukupnya dan kacau. Buat lubang ditengah-tengah...pecahkan telur, biar masak sedikit kemudian gaulkan dengan nasi hingga sekata dan masak. Setelah masak angkat dan hidangkan.

4. Hiaskan ikut suka.

BAHAN UNTUK SUP KOSONG

1 mangkuk besar air
1/2 kiub pati ikan bilis
kayu manis
bunga lawang
1 ulas bawang putih diketuk
sedikit garam
sedikit minyak
sedikit daun sup dan bawang goreng

CARA MEMBUATNYA:

1. Tumiskan bawang putih, kayu manis dan bunga lawang, masukkan air biar mendidih. Masukkan kiub pati ikan bilis. Sedikit garam ditambah jika kurang rasa.

3. Hiaskan dengan daun sup dan bawang goreng.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KONGSI RESEPI